Fitnah PM: Laporan polis dibuat terhadap Chegubard, Wan Saiful, Raggie Jessy
PUTRAJAYA – Satu laporan polis dibuat terhadap tiga individu termasuk Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard kerana mengeluarkan dan menyebar beberapa kenyataan palsu serta bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan polis itu yang turut menamakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini, semalam.
“Adalah jelas bahawa kesemua kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat, bermotifkan politik dan kesemua bukti-bukti yang kukuh dan konklusif serta menyeluruh telah dikemukakan kepada pihak polis.
“Antara bukti-bukti yang diserahkan adalah perjanjian pajakan selama 10 tahun bagi rumah di Sungai Long tersebut yang bermula dari Ogos 2020 sehingga Julai 2030 dan salinan geran yang menunjukkan bahawa pajakan tersebut telah didaftarkan.
“Turut diserah ialah bukti-bukti pembayaran pajakan tersebut yang dibayar secara tahunan mulai tahun 2020 tanpa gagal, malah untuk pajakan pada tahun 2023, ianya dibayar seawal bulan November 2022 sebelum Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Berhubung kenderaan Jaguar bernombor pendaftaran VCQ 8055 katanya, ia adalah kereta terpakai yang disumbangkan kepada Yayasan Aman pada tahun 2020 dan usia kenderaan tersebut ketika itu adalah melebihi 10 tahun.
Ahmad Farhan menjelaskan, kenderaan itu digunakan oleh Anwar semasa beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di dalam pentadbiran kerajaan.
“Walaupun didaftarkan di atas nama Yayasan Aman, kos penyelenggaraan kereta tersebut beserta insurans dan cukai jalan adalah ditanggung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan duit peribadi beliau dan tiada langsung dana dari Yayasan Aman digunakan untuk kenderaan tersebut.
“Untuk kenderaan BMW 7 Series BEM 1, ia adalah pinjaman ihsan seorang ahli perniagaan bumiputera yang digunakan untuk kempen pilihan raya semata-mata dan kenderaan tersebut telah dipulangkan kepada ahli perniagaaan tersebut sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kereta rasmi kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu menyentuh mengenai aset lain kepunyaan Perdana Menteri terutamanya lot tanah di Port Dickson, katanya, rujukan boleh dibuat kepada Akuan Berkanun beliau bertarikh 9 November 2022.