Berita Semasa

Pihak berkuasa, JPN siasat guru gigit bibir murid

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyiasat berhubung kes tular seorang guru lelaki yang didakwa menggigit bibir muridnya di sebuah sekolah di pantai timur.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ini kerana setiap siasatan perlu mengikut saluran serta proses yang betul melibatkan aduan, siasatan serta ketelusan.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Status (kedudukan) guru berkenaan akan diserahkan kepada JPN sama ada akan dibawa ke peringkat lebih jauh.

“Saya hendak memberi jaminan bahawa apa sahaja aduan berkaitan keganasan, buli atau apa sahaja tindakan fizikal, kita akan siasat. Tidak ada kompromi. Hormat proses (siasatan) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2002, di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun digigit oleh seorang guru di bahagian bibirnya mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Wanita berkenaan turut mendakwa, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.

Show More

Related Articles

Back to top button