Mesyuarat Khas WEF: PM adakan pertemuan dengan 50 pemimpin industri, perniagaan global
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin lebih banyak pelabur bernilai tinggi akan mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan Nvidia dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
Keyakinan itu dizahirkan Perdana Menteri selepas beliau menyertai mesyuarat meja bulat delegasi Malaysia bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.
Antara syarikat yang menyertai sesi itu termasuk Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.
Menurut Anwar, kesempatan itu diambil dengan beliau memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
“Sesi ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia.
“Ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.
“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas Kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini,” kata di Facebook milik beliau hari ini.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Khas WEF yang telah membuka tirainya semalam dan akan berakhir hari ini di ibu negara Arab Saudi.