Berita Semasa

Tragedi kepala air: Cuaca buruk halang unit skuba lakukan selaman

CHUKAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi kekangan dalam menghantar unit penyelam masing-masing bagi membantu mencari dua lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini, yang masih hilang.

Menurut Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Azman Alias, pasukan terdiri 18 anggota itu sudah bersiap-sedia sejak pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan, namun keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka untuk melakukan selaman.

Katanya, pasukan tersebut sudah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melakukan selaman dan sudah bersiap-sedia untuk diatur gerak. 

“Memang pasukan ini sudah siap sedia, cuma kita tak atur gerak lagi (sebelum ini) disebabkan keadaan cuaca dan keadaan pada waktu itu yang tidak sesuai.

“Selain itu, kita juga tiada petunjuk untuk buat selaman dan hari ini, kita akan buat (kenal pasti) beberapa kawasan serta ada kemungkinan kita nak buat selaman hari ini apabila ada petunjuk baharu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambah Azman, operasi hari ini membabitkan 174 keanggotaan merangkumi radius pencarian sehingga 36 kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya juga akan memperluaskan pencarian secara darat dan ‘rafting’ di dalam air serta menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).

Sehingga kini, lapan mayat membabitkan sekeluarga sudah ditemukan susulan tragedi kepala air di Jeram Air Putih pada Ahad lalu.

Dua lagi mangsa belum ditemukan adalah anak pasangan terbabit iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, serta tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.

Show More

Related Articles

Back to top button