Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tragedi Lembah Maksina: Bomba sahkan 3 maut, 12 lagi selamat

LAHAD DATU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiga maut manakala 12 lagi selamat dalam insiden kepala air di Lembah Maksina, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, semua mangsa berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti jelajah sungai.

Bagaimanapun, sebaik berlaku insiden kepala air berkenaan, semua 15 mangsa dihanyutkan kepala air dan tiga daripadanya dilaporkan hilang.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.28 malam.

Katanya, panggilan kecemasan dibuat oleh dua lagi individu yang keluar dari kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Kedua-dua mangsa dikatakan tidak terkena insiden kepala air kerana selesai awal dari aktiviti berkenaan dan sudah berada di ‘starting point’ sejak jam 3 petang.

“Pasukan operasi berjaya tiba di lokasi kejadian pada jam 9.36 malam dan operasi mengeluarkan sembilan mangsa terperangkap terus dijalankan,” katanya memetik Buletin TV3.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat oleh pasukan operasi kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, terdapat dua mangsa yang cedera dan mereka diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Show More

Related Articles

Back to top button