Kapal selam Oceangate Titan meletup berhampiran bangkai Titanic
WASHINGTON – Kesemua lima krew kapal selam persiaran untuk melihat kapal Titanic di Newfoundland, Lautan Atlantik disahkan maut selepas kapal itu dipercayai meletup.
Menurut kenyataan Agensi Pengawasan Pantai Amerika Syarikat, kapal selam OceanGate Titan tersebut dipercayai meletup kira-kira 500 meter dari bangkai kapal Titanik berdasarkan penemuan serpihan badan kapal berkenaan.
Penemuan itu menandakan perjalanan kapal selam yang dikendalikan oleh syarikat Oceangate tersebut berakhir di dasar pada kedalaman 4,000 meter di Newfoundland, lautan bersempadan Amerika Syarikat dengan Kanada.
Dalam perkembangan sama, OceanGate berkata, kesemua ahli keluarga mangsa termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush telah dimaklumkan.
Empat lagi penumpang adalah ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, jutawan INggeris, Hamish Harding dan peneroka Perancis, Paul-Henri Nargeolet.
“Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Kapal OceanGate Titan yang menawarkan pakej ke tapak ‘bersemadinya’ kapal persiaran mewah Titanic mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.
Pakej itu ditawarkan pada harga RM1.2 juta bagi setiap penumpang.