Politik

Muhyiddin minta KJ fikir lagi

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi bayangan untuk tidak akan menerima pelawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti Bersatu.

Menurut Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, beliau diminta untuk berfikir lebih lanjut sejurus menyuarakan pandangannya mengenai tawaran dikemukakan oleh Presiden Bersatu itu.

Namun, beliau tidak menyatakan secara jelas mengenai jawapan diberikan kepada Muhyiddin meskipun ia kelihatan menjurus ke arah menolak pelawaan Ahli parlimen Pagoh itu.

“Saya fikir lagi (pelawaan dibuat Muhyiddin)…saya pun sudah bersetuju untuk berfikir lagi dan saya pun minta beliau (beri) sedikit masa. Bagi saya ada (jawapan muktamad mengenai pelawaan itu sudah ada) tetapi beliau (Muhyiddin) minta supaya saya berfikir lagi.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) pun belum dibubarkan, jadi ada sedikit masa lagi untuk apa-apa berlaku.

“Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah,” katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan pada podcast ‘Keluar Sekejap’ hari ini.

Semalam, sumber Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk Bersatu mahupun menubuhkan parti baharu dalam waktu terdekat.

Ia susulan pertemuan Khairy dengan Muhyiddin yang dikatakan berlangsung di kediaman Perdana Menteri kelapan itu di Bukit Damansara, di sini, kelmarin.

Show More

Related Articles

Back to top button