Kerajaan tidak akan tambat ringgit kepada dolar AS
Akan paksa BNM naikkan kadar OPR menyamai kadar faedah AS
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan itu akan memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah Amerika Syarikat yang kini di ambang 5.00-5.25 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu turut menyebabkan kawalan aliran modal menjadi tidak akan bebas.
“… sedangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus.
“Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab menjawab soalan tambahan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan bertindak menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit pada tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS dan nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut susut.
“Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun negara-negara tersebut telah mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.
Ahmad berkata Malaysia juga akan memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.
Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.
Ini termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (NIP).