
Presma bangkang cadangan kawasan merokok khas di premis makanan
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyifatkan pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan kawasan khas merokok bagi premis makanan di kawasan sempit adalah satu tindakan pusingan U (u-turn).
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana peraturan yang diperkenalkan sebelum ini sudah cukup jelas, termasuk dalam kalangan perokok sendiri.
“Kita tidak faham mengapa langkah ini perlu dipertimbangkan. Sebelum ini jarak tiga meter, kali ini premis makanan di kawasan sempit pula.
“Yang baiknya, langsung jangan benarkan merokok. Pihak berwajib perlu konsisten, jangan ‘flip-flop’,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawahar berkata, KKM tidak sepatutnya berkompromi dalam isu kesihatan terutama di tempat makan kerana tabiat merokok di kawasan awam itu bukan sahaja mencemar udara tetapi mengotorkan persekitaran.
“Janganlah tukar-tukar begini. Sekarang ini nak jumpa puntung rokok pun susah, kawasan sekitar bersih dan selesa.
“Bila beri kebenaran, lain pula keadaannya nanti. Sepatutnya tumpu kepada perkara yang lebih besar,” katanya.
Sebaliknya kata beliau, KKM perlu melihat semula denda yang dikenakan kepada pemilik premis yang gagal menghalang pelanggan merokok di premis kerana bidang penguatkuasaan bukan terletak pada bahu peniaga.
“Pemilik restoran tidak ada kuasa untuk halang perokok, hanya boleh nasihatkan. Tetapi jika mereka enggan, kami pula didenda. Ini yang patut jadi isu,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, premis makanan di kawasan sempit agak sukar mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
Justeru katanya, KKM sedia mempertimbangkan untuk menyediakan kawasan khas bagi perokok.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |