Kami tidak pernah dijemput berbincang, kenapa kata kami tolak – Ketua Pemuda Pas
SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak pernah diajak berbincang mengenai projek di kawasan masing-masing yang masih belum diluluskan.
Ahmad Fadhli dalam kenyataannya turut menafikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan ahli-ahli Parlimen pembangkang enggan berbincang mengenai projek di kawasan masing-masing.
Sedangkan katanya, semua ahli parlimen pembangkang sentiasa bersikap terbuka bagi mengadakan perbincangan bersama kerajaan mengenai perkara tersebut.
“Saya baca kenyataan PMX seperti yang dilaporkan di media massa. Saya dan kawan-kawan Ahli Parlimen PN ini sentiasa terbuka.
“Jemputlah kami bincang projek apa di kawasan kami. Entahlah bila yang dikatakan kami enggan terima pelawaan kerajaan itu, pelik,” katanya.
Semalam, Anwar mendedahkan ahli Parlimen pembangkang didakwa masih enggan menerima pelawaan kerajaan bagi mengadakan perbincangan mengenai projek di kawasan mereka yang belum diluluskan.
Beliau memberitahu, apa yang dilakukan pembangkang ketika ini hanya memberi kecaman terhadap kerajaan termasuk mendakwa kerajaan zalim kerana tidak memberi kelulusan projek yang dibawa.
Tambah Ahmad Fadhli, lebih pelik lagi bila dikatakan 30 tahun pihak pembangkang tidak bagi peruntukan.
“Memang ajaib kenyataan beliau,” ujarnya.