Berita Semasa

Kemelut berakhir, Putrajaya Cyborg kembali ke pangkuan PSM

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Putrajaya yang sebelum ini disisihkan daripada menyertai Liga Sepak Takraw (STL) diterima kembali sebagai Ahli Bersekutu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Keputusan itu dicapai selepas kemelut perebutan kuasa antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) berakhir dan persatuan itu diterima kembali menyertai Asia Sepaktakraw Federation (ASTAF) hari ini.

Presiden ASTAF, Halim Kader yang hadir di Mesyuarat Agung PSM dengan berbesar hati menerima kembali PSM bersama ASTAF dan akan meneruskan kerjasama yang terjalin selama ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Putrajaya (Putrajaya Cyborg), Abu Amar Darus melahirkan rasa syukur dengan perkembangan itu.

Beliau berkata, pasukan itu tidak akan menoleh ke belakang lagi dan akan meneruskan usaha membangunkan sukan warisan negara itu ke tahap lebih baik.

“Bersyukur dengan kemasukan kembali bersama PSM, Putrajaya Cyborg akan terus memperjuangkan sukan ini sebaik-baiknya.

“Kita akan mempersiapkan pasukan dan yang pasti menggiatkan lagi pembangunan sukan sepak takraw di Putrajaya khususnya. Buang yang keruh, ambil yang jernih demi memartabatkan sukan sepak takraw sukan warisan kita” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Dalam pada itu, ditanya perancangan dalam masa terdekat ini, katanya, pasukan yang berpangkalan di Putrajaya itu akan memfokuskan terhadap beberapa kejohanan besar lain seperti Piala Tun Ali dan Piala Emas Khir Johari.

Abu Amar berkata, meskipun tidak meletakkan sasaran yang tinggi, pasukan tersebut akan tetap memberikan persembahan terbaik dan bukan sekadar menjadi pasukan pelengkap jadual.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button