Berita Semasa

Pemilihan U Mobile sebagai penerima Rangkaian 5G kedua dinilai secara bebas – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pemilihan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penerima Rangkaian 5G kedua Malaysia dinilai secara bebas dan bukannya secara penganugerahan terus atau ‘direct award’.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penilaian itu dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan tatakelola yang baik.

Justeru itu, Fahmi menegaskan, beliau dan timbalannya, Teo Nie Ching, tidak terbabit dalam proses penilaian tersebut.

“Berkenaan isu pegangan, pihak MCMC telah melaksanakan secara bebas dan menteri atau timbalan menteri tidak terbabit dalam sebarang proses penilaian.

“Kerajaan melalui MCMC sudah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

“Pemilihan ini dilaksanakan melalui proses ‘beauty contest’ atau dalam bahasa mudah, melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Fahmi menyatakan alasan Kerajaan Persekutuan memberikan lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G memandangkan 48.28 peratus saham equiti syarikat itu dipegang olen syarikat asing dari Singapura iaitu Straits Mobile Investement Pte Ltd.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Jelas beliau, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada syarikat itu.

Jelasnya lagi, U Mobile juga memberi komitmen di dalam kenyataan media sebelum ini untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus.

Ia adalah bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.

“Keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus manakala pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Keperluan ini diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu. Oleh itu, keputusan utuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button