Berita Semasa

Nilai pelaburan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 cecah RM15.6 bilion – PM

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menerusi beberapa kementerian akan meneliti inisiatif pelaburan yang dikemukakan kerajaan Negeri Sembilan bagi menyokong pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.

Perdana Menteri berkata kementerian terlibat adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Bagi menyokong pembangunan MVV 2.0, saya juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat memberi tumpuan dalam memajukan pembangunan di kawasan MVV 2.0 serta diberi keutamaan supaya pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan inklusif.

“Usaha ini akan membawa manfaat kepada semua pihak, khususnya rakyat di negeri ini. Pelan perancangan perlu dikemudi dengan baik untuk memacu kejayaan dan kecemerlangan negara. Kita memerlukan kepimpinan yang mantap dan berintegriti tinggi,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mewakili Perdana Menteri bagi merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan Negeri Sembilan serta agensinya atas komitmen berterusan bagi perancangan pembangunan MVV 2.0 sehingga berjaya memeterai perjanjian dan usaha sama yang dianggarkan berjumlah RM15.6 bilion sehingga hari ini.

Beliau berkata, kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi terus memperkasakan pekerja di negara ini, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu diperkukuhkan untuk melahirkan pekerja efektif, yang boleh mengoptimumkan produktiviti seterusnya dapat meningkatkan daya saing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir ke Majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 bagi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain membuka peluang pekerjaan yang berkualiti, kita perlu memastikan usahawan tempatan mendapat peluang dalam ekosistem industri itu serta berlaku pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu juga diadakan lima pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan empat Usaha Sama Pintar, antaranya membabitkan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) bagi khidmat nasihat pembangunan ekosistem Aerospace Valley (NSAV) dan “Unmanned Vehicle Valley” (UVV).

MoU bersama China National Aero-Technology International Engineering Corporation (AVIC-ENG) bagi pembangunan hartanah dan infrastruktur di kawasan NSAV dengan jumlah pelaburan RM5.81 bilion.

Selain itu, usaha sama bersama MCHB Development (NS) Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Plot C Parcel B berjumlah RM7 bilion dan kerjasama dengan MIE Industrial Sdn Bhd bagi pembangunan fasiliti Terminal Industri yang dikenali sebagai NS Maritime Gateway berjumlah RM1.2 bilion.

Usaha sama juga membabitkan Labu Tech Park Sdn Bhd bagi pembangunan infrastruktur kawasan industri NS Smart Park di Plot C, Parcel B berjumlah RM700 juta serta NS Semiconductor Valley Sdn Bhd bagi pembangunan kawasan industri semikonduktor di Parcel F berjumlah RM420 juta.

MVV 2.0 adalah pembangunan berlandaskan kerjasama awam dan swasta untuk menjadikan bandar metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing, inklusif dan bersih.

Pembangunan MVV 2.0 dijangka memberi impak ekonomi kepada negara dengan membawa pelabur antarabangsa dan tempatan.

Pembangunan MVV 2.0 itu merangkumi 153,411 hektar tanah, meliputi Seremban dan Port Dickson, yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkualiti.

Show More

Related Articles

Back to top button