Wira Batang Kali Blake telah tiada
PUTRAJAYA – Seekor Anjing Pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa ditidurkan pada jam 4.38 petang semalam (18 September 2023) selepas dikesan menghidapi barah lymphoma.
Menurut JBPM dalam satu kenyataan, anjing pengesan dari disiplin Cadaver yang diberi nama Blake itu telah didiagnosis menghidapi barah lymphoma tahap empat pada 15 Ogos
lalu.
“Blake telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, University Putra Malaysia (UPM) pada 14 September 2023 apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.
“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah barah lymphoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” katanya.
Menurut kenyataan itu, hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr. Nur Alimah Rahman dari Fakulti Veterinar, UPM, pihak jabatan telah bersetuju dengan keputusan
untuk menidurkan Blake.
Katanya, keputusan itu diambil kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut.
“Anjing Pengesan Blake yang berusia 7 tahun ini merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.
“Anjing Pengesan Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.
“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang enam tahun berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune