Politik

Tiada keperluan mendesak DAP mohon maaf kepada UMNO – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan bahawa tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mendesak DAP memohon maaf kepada UMNO bukanlah satu kesalahan.

Jelas Timbalan Presiden UMNO itu, permohonan maaf daripada DAP bukanlah keperluan yang mendesak, namun boleh mengeratkan lagi hubungan kedua-dua parti.

“Saya bila dia minta pandangan berkenaan permohonan maaf yang diminta oleh Pemuda UMNO daripada DAP, tiada salahnya. Saya juga tidak mendesak DAP perlu mohon maaf.

“Bagaimanapun tidak ada salahnya kerana ia adalah satu perkara yang baik. Ini kerana DAP boleh mohon maaf kepada rakyat dan Kerajaan Sarawak. Kalau boleh, dia akan menambah keakraban kerana kita adalah rakan dalam kerajaan Perpaduan ini.

“Ini adalah once for all, menghapuskan syak wasangka dan kesangsian kita antara satu sama lain. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kata tiada keperluan, itu terpulang pada penilaian masing-masing. Kita tidak mahu isu ini menjadi punca pada keretakan Kerajaan Perpaduan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) di sini,hari ini.

Mohamad Hasan beramah mesra bersama pengamal media di Laman Media pada PAU 2023 di WTC Kuala Lumpur di sini, hari ini – Foto Mim Fadizal Rozaiman

Ditanya mengenai tindakan bekas ahli dan dan ahli digantung yang menyerang parti, beliau berkata, mereka perlu melakukan penilaian yang bijak.

“Kita tidak boleh menahan orang daripada bercakap apa jua yang dilemparkan itu, ahli UMNO nilailah sendiri. Orang ramai juga boleh menilai apa jua yang dikatakan. Kita mengamalkan kebebasan bersuara. Mereka yang dipecat itu bukan lagi ahli. Bagi yang digantung pula, terpulang pada mereka untuk bercakap.

“UMNO parti yang berusia, saya jangkakan dan harap ahli-ahli boleh buat penilaian masing-masing. Kadangkala kata yang dilemparkan itu adalah psywar selain untuk melepaskan geram. Saya harap ahli tidak terganggu dengan apa yang dikatakan.

“Kita move forward. Kita tidak mampu lagi untuk berpecah belah, berselisih dan berpuak. Kurangkanlah sindir-menyindir antara satu sama lain. Kalau ada pandangan untuk parti atau mahu menegur parti, gunakan saluran yang sedia ada untuk kita bincangkan dan baiki kelemahan. Kita ini organisasi memang tidak lekang daripada kelemahan,” kata Mohamad yang juga Menteri Pertahanan.

Show More

Related Articles

Back to top button