Syarikat dari Qatar berminat dapatkan minyak sawit dari Malaysia – PM
PUTRAJAYA – Sebuah syarikat pertanian organik berasaskan system hidroponik di Qatar, Agrico Agriculture Development W.L.L. (Agrico Qatar) berminat untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah bagi kilang penapisan minyak kelapa sawit milik Agrico di Malaysia.
Permintaan itu disampaikan ketika Pengerusinya, Ahmed Hussain Al-Khalaf dan Duta Qatar ke Malaysia, Salah Mohammed Al-Sorour mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Insya-Allah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri Selangor sedang menyelaraskannya. Produk ini seterusnya akan menjadi produk-produk berkualiti tinggi yang berpotensi di-eksport ke Qatar, Tanzania, Afghanistan, India, dan negara-negara di rantau Timur Tengah.
“Kerajaan Malaysia akan terus memperkukuhkan jaringan perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Qatar, serta mengalu-alukan syarikat-syarikat dari Qatar untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar lagi, pada tahun ini, Agrico Qatar melalui Agrico mensasarkan untuk melaksanakan projek-projek dalam tiga sektor iaitu penapisan minyak sawit, pertanian dan keselamatan makanan, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM1.5 hingga RM2.0 bilion.
Anwar berkata, selari dengan Wawasan 2030 Qatar dan Pelan Tindakan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025, Malaysia menyambut baik usaha-usaha pihak swasta dalam menyokong agenda-agenda Kerajaan ke arah menjamin keselamatan makanan serta memantapkan lagi rantaian bekalan makanan bagi kedua-dua negara.
Agrico Qatar merupakan satu-satunya syarikat pertanian organik berasaskan system hidroponik di Qatar yang mengguna pakai teknologi terkini secara mampan.
Melalui kaedah ini, Agrico berjaya menghasilkan kira-kira 3,000 tan metrik sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkualiti sepanjang tahun, memenuhi sekurang-kurangnya 90 peratus permintaan pasaran tempatan Qatar.