PAS kekal bertanding di semua kerusi dimenangi sebelum ini
KOTA BHARU – Pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan mengguna pakai kaedah sama seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata parti itu kekal bertanding di kerusi yang sudah dimenangi, manakala BERSATU pula akan bertanding di kerusi dimenangi UMNO
Bagaimanapun, katanya, mungkin akan ada pengubahsuaian strategi di negeri pada peringkat akhir nanti, lapor Berita Harian.
“Buat masa ini, senarai pendek calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan untuk PRN sudah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, untuk dimuktamadkan.
“Setiap kerusi akan ada tiga calon, jadi bergantung kepada Menteri Besar untuk memilih siapa yang paling layak dan akan ada 30 peratus muka baharu yang ditampilkan pada PRN kali ini.
“Muka baharu yang kita maksudkan tidak semestinya orang muda, tetapi juga calon yang tidak pernah bertanding tetapi diyakini layak untuk mewakili parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sayyidinatina Khadijah di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, kerajaan negeri menyampaikan anugerah kepada 10 Tokoh Wanita dan 10 Ikon Wanita Kelantan yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan serta pendidikan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Mohd Amar turut mengulas dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa pemimpin parti Kerajaan Perpaduan tidak pernah berbincang untuk membuat tawaran kepada PAS.
“Kerajaan Perpaduan tidak ada yang mengajak PAS, tetapi ada individu dalam kerajaan berkenaan yang menawarkannya.
“Sebagai contoh, veteran DAP, Lim Kit Siang sendiri ada membuat kenyataan untuk berdamai dengan PAS, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu dia sedia berbincang bersama PAS.
“Jadi, apa yang dimaksudkan dengan tiada individu yang menawarkan kepada PAS, sedangkan kedua-dua individu itu adalah ahli Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah, PAS akan kekal bersama PN dan sasaran kita untuk PRN adalah bagi memenangi semua kerusi di enam negeri,” katanya.