Berita Semasa

Kes ponteng kerja paling tinggi dikenakan tindakan tatatertib – Pengerusi SPA

PUTRAJAYA – Ponteng kerja didapati punca paling popular golongan penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib ketika dalam tempoh perkhidmatan awam antara tahun 2020 hingga 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, berdasarkan statistik, pada tahun 2020 sebanyak 117 individu dikenakan tindakan tatatertib, diikuti 83 individu pada 2021 dan 51 individu pada tahun berikutnya.

“Paling popular ialah ponteng kerja dan tidak hadir bertugas di mana ada yang satu hari, dua hari, tujuh hari serta berpuluh hari. Ada juga ikut bulanan termasuk cuti tahun tanpa diketahui.

“Perkara ini tidak patut berlaku dalam perkhidmatan awam kerana kita telah bekalkan tatacara dan tata kelola hadir bertugas serta menyeru untuk patuh peraturan demi kebaikan anggota serta kemajuan perkhidmatan awam,” katanya pada Majlis SPA bersama media di sini tadi.

Beliau turut mendedahkan, ada dalam kalangan ‘pesalah’ itu ponteng kerja sehingga berpuluh hari tanpa sebab dan alasan kukuh.

Zainal Rahim berkata, ketua jabatan atau lembaga tatatertib di setiap kementerian dan jabatan terlibat juga berperanan mengambil tindakan bersesuaian selepas kes tersebut dibawa kepada mereka.

“Selalunya, hukuman paling rendah kita akan beri surat amaran diikuti paling akhir iaitu menurunkan pangkat atau buang kerja.

“Bagi tindakan buang kerja ia melibatkan jenayah dan dadah,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi urusan statistik tahan kerja pula, sebanyak 97 kes dilaporkan bagi tempoh tiga tahun iaitu pada 2020 hingga 2022, manakala sejumlah sembilan kes telah digantung kerja pada 2020, manakala 10 kes untuk 2021 dan 14 kes bagi tahun berikutnya.

“Untuk rayuan tatatertib pula, sebanyak 284 kes direkodkan pada 2020 selain 314 pada 2021 serta 498 pada 2022,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button