Berita Semasa

Jenazah Allahyarham Awang Askandar dibawa turun dari Everest ke Kathmandu esok

KUALA LUMPUR – Jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya akan dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu akan dilakukan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Armizan ketika mengadakan sidang video bagi pengurusan membawa balik jenazah Allahyarham Awang Askandar.

“Terkini saya dimaklumkan bahawa pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah dari Camp 4 ke Base Camp pada jam 2 petang (waktu tempatan) hari ini.

“Pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa jenazah allahyarham dijangka dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan sidang video bersama Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara, Datuk Mohammad Ali Selamat dan Counsellor/Charge d`Affaires, Kedutaan Malaysia di Kathmandu,Mohd Fazle Abu Hasan bagi pengurusan membawa balik jenazah Allahyarham.

Dalam pada itu, Armizan berkata, jenazah Awang Askandar juga akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Benoni, Papar, Sabah.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada APM dan Ahli Parlimen Papar, saya telah berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau memberikan komitmen bahawa kerajaan negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar sebagaimana hasrat ahli keluarga.

“Begitu juga Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan. Pada masa yang sama, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS). Keprihatinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah amatlah dihargai,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button