Apakah rasional peranan Kementerian Wilayah Persekutuan ‘diturun pangkat’ sebagai jabatan? – soal Senator Dewan Negara
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mempersoalkan tindakan kerajaan mengecilkan peranan Kementerian Wilayah Persekutuan yang kini hanya dijadikan sebagai sebuah jabatan.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan kerajaan sukar mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Sedangkan banyak lagi isu dan masalah yang besar dihadapi oleh rakyat yang belum diselesaikan. Saya berpandangan bahawa pengecilan peranan kementerian ini akan menyebabkan kerajaan sukar untuk mentadbir ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini,” katanya di Dewan Negara pada hari ini.
Dalam pada itu Hisamudin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut membangkitkan isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kolam takungan banjir ditambah dan kolam takungan yang sedia ada didalamkan supaya aliran air dapat dilarikan dengan kadar lebih cepat bagi mengelakkan banjir kilat di Putrajaya.
Sementara itu, beliau turut membangkitkan isu sewa kedai di Putrajaya yang dilihat sangat membebankan peniaga.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya Perbadanan Putrajaya untuk menyatakan secara jelas kadar sewa yang ditetapkan di medan selera yang beroperasi di Putrajaya.
“Ini adalah berikutan wujudnya rungutan daripada peniaga mengatakan kadar sewa agak tinggi menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan mereka. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada pihak Perbadanan Putrajaya, adakah mereka sanggup menyemak semula kadar sewa yang sedia ada bagi memastikan keadilan kepada rakyat Putrajaya,” ujarnya.
Seterusnya beliau membangkitkan isu parkir dan beliau mencadangkan agar Perbadanan Putrajaya menaiktarafkan tapak parkir yang sedia ada kepada bangunan parkir bertingkat secara berperingkat dan dari Presint ke Presint.