Isu kalimah Allah: Kabinet bertemu Agong
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemaah menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu adalah bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu.
“Jemaah menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri yang turut membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
Mengulas lanjut katanya, jemaah Mlmenteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.
“Jemaah menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan
menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar
dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” ujarnya.