Sarawak umum peruntukan RM15.8 bilion bagi Belanjawan 2025, terbesar dalam sejarah negeri
KUCHING – Sebanyak RM15.8 bilion diperuntukkan dalam dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2025 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Masa Depan Sejahtera’ yang dibentangkan tersebut merupakan yang terbesar dalam sejarah negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, belanjawan itu akan terus menjadi bajet pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Belanjawan tahun depan bercadang untuk meningkatkan operasi dan pembangunan daripada RM13.6 bilion pada 2024 kepada RM15.8 bilion pada 2025.
“Ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM2.2 bilion atau 16 peratus berbanding belanjawan 2024,” katanya.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata demikian dalam ucapan Pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Jelasnya, belanjawan itu direka inklusif dengan setiap rakyat mempunyai kesaksamaan akses kepada peluang dan sumber untuk berkembang maju.
“Belanjawan ini dinilai dengan teliti dan dirumus untuk memastikan Sarawak kekal berdaya tahan, berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Pencapaian masa lalu dengan asas yang kukuh, meletakkan kita dalam persediaan untuk mengharungi cabaran masa depan, menjaga kesejahteraan rakyat dan membawa kesejahteraan kepada semua,” katanya lagi.
Belanjawan Negeri Sarawak 2025 dirangka dengan lapan teras strategi iaitu mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak.