Berita SemasaPM X

Pemberian subsidi diesel ditambah baik dengan penggunaan ‘fleet card’

PUTRAJAYA – Sistem pemberian subsidi diesel akan ditambah baik dengan penggunaan fleet card bagi memantau penggunaan diesel dan mengelakkan ketirisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem subsidi diesel negara harus diperbaiki berikutan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, semakan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022, sedangkan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus iaitu dari 2.08 juta pada 2019 ke 2.13 juta pada 2022.

“Jadi ada masalah tentang salah guna, penyeludupan dan ketirisan. Ini disebutkan ketirisan RM10 billion.

“Pemberian diesel subsidi itu diteruskan tetapi mesti melalui fleet card. Dengan cara ini kita dapat kesan siapa perlu boleh pakai, tapi jangan ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku sekarang,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), di sini hari ini.

Beliau seterusnya menambah, kerajaan juga sedang memperincikan jenis-jenis kenderaan yang akan menikmati subsidi diesel.

“Kita sedang perinci kenderaan mana diperlukan dan sebagainya tetapi yang jelas subsidi diesel tidak dinaikkan.

“Cuma kita nak tentukan yang berhak akan peroleh diesel subsidi. Kita tidak mahu, wang cukai dibayar untuk bantu rakyat tetapi diguna kartel-kartel seperti kartel-kartel minyak masak, digunakan untuk kepentingan segelintir kecil,” kata beliau lagi.

Kerajaan, kata Anwar, telah melaksanakan program subsidi bersasar secara berperingkat bermula Januari 2023 dan memberi contoh tiada lagi subsidi penuh tarif elektrik diberikan kepada syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi.

Beliau berkata pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan menjadi keutamaan dalam memastikan perbelanjaan kerajaan disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button