Bayi bawah 12 bulan paling ramai hidap batuk kokol, KKM cadang beri vaksin Tdap kepada ibu hamil
PUTRAJAYA – Sebanyak 132 kes Pertussis dengan dua kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia pada tahun ini, sehingga 28 April lalu.
Menteri Kesihatan, Zaleha Mustafa berkata, tren kes pertussis di Malaysia adalah selari dengan situasi global yang menunjukkan
penurunan kes semasa pandemik COVID-19 (2020 – 2021).
Katanya, bilangan kes pertusis di Malaysia telah menurun dengan mendadak pada tahun 2020 hingga 2021 semasa pandemik COVID-
19 berlaku dan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.
“Jika dibandingkan bagi tempoh yang sama iaitu sehingga 28 April pada tahun 2019, sebanyak 495 kes dicatatkan (iaitu penurunan sebanyak 73.3 peratus).
“Daripada 132 kes pertussis yang dilaporkan, 89 kes (67.4 peratus) adalah warganegara manakala 43 kes (32.6 peratus) lagi merupakan bukan warganegara.
“Bayi berumur bawah 12 bulan adalah
kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kanak-kanak berumur di antara 1 tahun hingga hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan
selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.
“Imunisasi merupakan langkah pencegahan pertusis yang berkesan. Di Malaysia, vaksin pertusis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.
“Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.
“Berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes pertussis di negara ini adalah dalam kalangan bayi berumur kurang dari 5 bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima kerana masih belum lengkap 3 dos primer vaksin pertussis.
“Justeru, KKM sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi TetanusDifteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil. Ibu hamil yang menerima vaksin pertussis ini dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan,” ujarnya.
Pertussis atau batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis.
Bakteria Bordetella pertussis yang menyebabkan penyakit ini menjangkiti mulut, hidung dan tekak dan tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.
Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti, namun ia juga boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia terutamanya golongan rentan dan rendah imuniti.
Gejala lazim pertussis adalah batuk
berpanjangan dalam tempoh 1 hingga 2 minggu. Ianya boleh berlarutan sehingga 2 bulan.