Ramai nama-nama besar UMNO akan sertai Pas
KOTA BHARU – Dianggarkan lebih 20 orang bekas pemimpin UMNO termasuk nama-nama besar dijangka menyertai PAS tidak lama lagi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tokoh terbabit termasuk bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, mereka dijangka akan menyertai PAS dalam masa terdekat.
“Tan Sri Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk menyertai PAS. Setakat ini kita menerima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin Umno untuk sertai Perikatan Nasional (PN).
“Mereka boleh menyertai mana-mana parti dalam PN sama ada PAS atau Bersatu yang merupakan parti komponen PN,” katanya memetik laporan Harakah Daily ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu, di sini, semalam.
Pada Sabtu lepas, Annuar memberitahu masih aktif dalam politik biar pun dibuang daripada Umno.
Menurutnya beliau akan lebih aktif selepas ini dengan memilih perjuangan bersama parti ‘berhaluan baik’.
Takiyuddin juga berkata, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ada memberi maklum balas mengenai tawaran menyertai PN.
“Mereka yang bakal menyertai kita itu sama ada akan diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya ia bergantung pada keadaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Mengenai Muktamar Tahunan PAS ke-69, beliau berkata tidak akan berlaku sebarang perubahan besar saf kepimpinan parti.
Menurutnya, setakat ini kepimpinan yang sedia ada diterima baik dan mereka terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“PAS ada pemilihan pimpinan pada muktamar tahun ini. Mesyuarat agung di 197 kawasan di seluruh negara sudah selesai diadakan.
“Cuma di peringkat pusat belum lagi diadakan muktamar dan pemilihan pimpinan kerana ia ditangguh bagi memberi tumpuan menghadapi PRN,” katanya.
Sebelum ini, beliau mengumumkan Muktamar PAS ke-69 yang sepatutnya diadakan 3 hingga 5 Mei ini ditangguh kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Penangguhan itu dilakukan untuk memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri termasuk Kelantan.