Malaysia perbaiki kedudukan Indeks Kebebasan Media Dunia 2022
KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan peningkatan Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dengan menduduki tempat ke-113 dari 180 negara sekali gus, menunjukkan perubahan yang memberangsangkan di negara ini.
Menurut laporan indeks yang dikeluarkan kumpulan bukan berasaskan keuntungan Reporters Without Borders (RSF), Malaysia naik enam anak tangga berbanding tahun sebelum ini.
Tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar, berkata, lonjakan besar dari aspek itu dilihat berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
“Kita harus faham tiada kebebasan mutlak dalam dunia media, di mana-mana pun tiada. Tetapi secara keseluruhannya, ada perubahan sangat baik berlaku selepas 2018, ada kebebasan yang agak memberangsangkan dari segi media,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Katanya, mana-mana media tidak wajar dianggap sebagai menentang kerajaan apabila mereka menyiarkan artikel-artikel yang dilihat kritikal terhadap dasar atau tindakan diambil pihak kerajaan.
Menerusi indeks terbaru itu, Malaysia menduduki ranking tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).