Skandal seks: PN gesa Exco Melaka buat laporan polis
MELAKA -Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub mendesak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang didakwa terlibat dengan skandal seks tampil membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.
Beliau berkata, bagi membuktikan tuduhan itu adalah satu fitnah, exco berkenaan perlu jujur dalam mempertahan atau membuat pengakuan selepas video tersebut tersebar di media sosial.
Mohd. Yadzil juga berkata, sekiranya dakwaan itu datu fitnah, exco terbabit juga perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit dalam video tular berkenaan.
“Saya bersimpati dengan Exco berkenaan yang terpalit dengan tuduhan rasuah, lebih-lebih lagi video terbabit tersebar ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Sebagai sebuah gagasan yang memperjuangkan politik matang, fokus PN adalah membangunkan negara secara konstruktif dan berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan menolak budaya politik menyerang peribadi pemimpin tertentu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian untuk mengulas mengenai beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dan video berunsur seksual yang tular sejak kelmarin, didakwa melibatkan seorang Exco Melaka dengan seorang wanita.
Dalam pada itu, dakwaan kes itu juga menurut Mohd Yadzil memberi tamparan kepada kepimpinan Ketua Menteri Melaka yang baharu dilantik, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh khususnya dalam kemampuannya menangani kontroversi tersebut.
“Kini terpulang kepada beliau (Ab. Rauf) sama ada mahu kerajaan negeri pimpinannya bersih atau tercemar dengan tuduhan sedemikian.
“Rakyat kini sedang menilai sesebuah kerajaan bukan sahaja mesti bersih tetapi perlu kelihatan bersih kerana sebarang kompromi akan memperlihatkan Malaysia Madani hanyalah retorik kosong yang tidak membawa sebarang makna,” jelasnya.
Ab. Rauf Yusoh sebelum ini menegaskan, isu skandal seks yang didakwa membabitkan seorang Exco Melaka sebagai satu fitnah.