2 pegawai ditahan rasuah: Imigresen beri kerjasama penuh kepada SPRM
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen telah menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap dua orang pegawainya yang bertugas sebagai atase di Bangladesh selepas disyaki menerima rasuah.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“Jabatan ini tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai imigresen yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan dan menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap manamana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kedua-dua pegawai itu yang ditahan pada 17 April lalu merupakan hasil perkongsian maklumat secara strategik antara jabatan itu bersama SPRM.
Katanya, ia sepas pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan Atase Imigresen yang bertugas di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.
Sehubungan itu katanya, kedua-dua suspek kemudiannya telah diarahkan kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.
“Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut.
“Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti,” katanya.