KKM saran orang ramai berwaspada hadapi jerebu, cuaca panas
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menasihatkan orang ramai menggunakan pelitup muka, payung dan topi untuk mengurangkan kesan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Selain itu orang ramai juga disaran supaya mengurangkan sebarang aktiviti fizikal lasak yang berisiko menyebabkan penyakit bawaan cuaca panas dan jerebu.
“Hadkan masa berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding dalam tempoh tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.
Berdasarkan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam, terdapat beberapa kawasan dilaporkan berada di Tahap Amaran 1 (berjaga-jaga) dan tiada kawasan dilaporkan berada di Tahap Amaran 2 (gelombang haba).
Dr Zaliha turut meminta orang ramai untuk menutup tingkap bagi mengurangkan partikel jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.
“Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.
Beliau berkata langkah pencegahan lain bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan susulan cuaca panas dan jerebu adalah penggunaan penyaman udara dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.
“Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Ini bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan mengawal-atur suhu badan.
“Kerapkan mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan,” katanya menambah, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.