Berita Semasa

Kanak-kanak melecur 46 peratus bahagian tubuh akibat disambar api ketika main bunga api

PENDANG – Seorang kanak-kanak perempuan empat tahun melecur hampir separuh tubuh badannya dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api di hadapan rumahnya di Kampung Senara, Kubur Panjang, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Pendang, Arriz Sham Hamezah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pagi semalam, dan memaklumkan mangsa mengalami lecur pada 46 peratus bahagian badannya.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa serta dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api di hadapan rumah mereka.

“Ketika itu, ibu bapa mangsa berada dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

“Namun, secara tiba-tiba suami isteri itu terdengar jeritan anak mereka dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada bahagian badan anaknya itu sebelum terus membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya terbakar selepas disambar api pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Namun kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita mengambil keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih trauma dengan insiden yang berlaku.

“Pihak hospital setakat ini belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan minyak pelita atau mercun,” katanya.

Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.

Show More

Related Articles

Back to top button