Berita Semasa

Azeez Rahim dilantik Pengerusi Keda

ALOR STAR – Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) baharu menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Jitra, Kedah.

“Dahulu Keda di bawah Jamil Khir dan kerajaan memutuskan jawatan ini diberikan kepada Abdul Azeez.

“Pelantikan ini diharap dapat mengeratkan jalinan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri perlu dilaksana tanpa mengira pendirian politik parti masing-masing.

Katanya, semua itu demi memastikan permasalahan rakyat dapat diselesaikan segera termasuk yang berlaku di negeri pembangkang.

“Saya yakin ini bukan soal politik, tetapi dasar kerjasama yang bukan retorik. Jika ada jurang sekalipun, kita perlu usahakan untuk merapatkan jurang itu.

Beliau berkata, kerjasama itu juga diharap dapat diteruskan tanpa mengira apa juga keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button