Politik

Dr Mahathir beri 7 hari untuk Anwar tarik kenyataannya

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membuktikan dirinya pernah melarikan wang berbilion ringgit, tidak membayar cukai dan banyak lagi tuduhan yang didakwa sebagai kenyataan fitnah oleh Perdana Menteri itu.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu memberi masa selama 7 hari kepada Anwar untuk menarik balik kesemua tuduhan yang dibuat dalam satu kenyataan pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata, kegagalan Anwar menafikan segala tuduhan termasuk sebagai penyangak itu akan menyebabkan beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan seterusnya.

“Saya bagi masa dia (Anwar) tujuh hari untuk tarik balik, walaupun dia tidak menyebut nama saya tapi ada menyebut seorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan.

“Orang ramai faham bahawa tuduhan ini dilempatkan kepada diri saya bahawa saya ada berbilion-bilion ringgit dan saya agih untuk saya, keluarga saya, anak saya dan sebagainya. Dan saya adalah seorang ‘scoundrel’.

“Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.

“Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dianya berkata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (Perdana Menteri), sekarang dia Perdana Menteri dan Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas,” katanya.

Beliau katanya demikian pada sidang media di di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir telah menyerahkan notis tuntutan melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, menerusi Tetuan Rafique, semalam.

Dalam ucapan Anwar pada 18 Mac lalu, media melaporkan Perdana Menteri menyelar sikap seorang bekas pemimpin yang disifatkan sebagai punca orang Melayu tidak maju dan terus terkebelakang.

Anwar juga menuduh kegagalan seorang pemimpin yang tidak mentadbir urus negara dengan baik kerana terpalit dengan penyelewengan duit berbilion ringgit.

Show More

Related Articles

Back to top button