
Beri bukti saya bolot kekayaan kata Tun M kepada Anwar
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan bukti berhubung dakwaannya yang mengatakan beliau membolot kekayaan untuk diri dan keluarganya.
Menurut Dr Mahathir, dakwaan tanpa disertakan dengan bukti yang jelas, tidak boleh diterima sebagai perkara benar, selain menyifatkan ia adalah fitnah.
“Saya mengeluh sekarang kerana kehilangan segala-galanya oleh orang Melayu berlaku selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Memang pun orang Melayu menjadi begitu miskin selepas saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
“Saya berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila jadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi kerajaan PH (Pakatan Harapan) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anwar dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini, menyelar sikap seorang bekas perdana menteri yang sering menyuarakan mengenai nasib orang Melayu tetapi tidak berbuat apa-apa ketika berkuasa.
Kata Anwar, yang juga Presiden PKR, bekas perdana menteri itu juga turut mendakwa orang Melayu akan tertindas di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Tanpa menamakan secara khusus siapa bekas perdana menteri itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun hanya memberi gambaran menerusi angka ’22 tahun dan 22 bulan’.
“Ada orang dulu 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, (tetapi) sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.
“Bagaimana tak hilang (kuasa dan harta orang Melayu) kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu dan sekarang apabila hilang kuasa (kamu mula) bicara soal rakyat,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau menyertai usaha menerusi Proklamasi Melayu itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu berhubung masalah yang dihadapi mereka.
“Isi kandungan proklamasi ini menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan UMNO.
“Menghalang pelancaran ini bermakna kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan UMNO.
“UMNO tidak bantah. UMNO tidak lagi pegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu, puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera lain.
“Apabila kerajaan menghalang pihak lain melancar proklamasi ini, ia mengkhianati janji dalam Perlembagaan negara. Sebab itu, orang Melayu patut tentang kerajaan pimpinan Anwar,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune