Orang ramai dialu-alukan ke Pameran Tan Sri P. Ramlee di KLIA
SEPANG – Orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri pameran eksklusif seniman agung Tan Sri P. Ramlee di Lapangan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 21 Mac hingga 31 Mei ini.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, pameran tersebut memaparkan hasil-hasil karya seni Allahyarham P. Ramlee.
Katanya, pengunjung dapat melihat sendiri pameran barangan peribadi P. Ramlee serta merasai pengalaman dari sudut hiburan menerusi pameran digital dan interaktif.
Tambahnya, para pengunjung akan dapat merasai sendiri suasana Studio Produksi Jalan Ampas, dengan kehadiran alat-alat peragaan yang unik serta kreatif seperti Sekolah Umum Buta Huruf, Kedai Musik Abdul Wahub dan Tandas Pangkah.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian pameran eksklusif seniman agung Tan Sri P. Ramlee di Lapangan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, pameran tersebut turut memaparkan sejarah kronologi kehidupan beliau melalui konsep visual yang diinspirasikan daripada filem-filem arahan beliau.
“Penganjuran pameran ini adalah selaras dalam usaha menyebarluaskan maklumat sejarah ketokohan P. Ramlee yang telah banyak memberi sumbangan dalam perjuangan memartabatkan industri seni negara.
“P. Ramlee juga telah mendekatkan masyarakat dengan tokoh-tokoh negarawan seperti beliau untuk melahirkan masyarakat yang menghargai budaya, sejarah dan warisan negara,” katanya lagi.