Sampai bersara masih belum terima kapal – KP Maritim Malaysia
BANGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berharap akan menerima Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) pada Julai ini sebagaimana telah dijanjikan pihak kontraktor pembinaan kapal tersebut.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, Maritim Malaysia juga berharap kapal kedua dan ketiga akan disiap dan diserahkan kepada agensi itu secepat mungkin pada tahun hadapan.
Katanya, mengikut perjanjian dua buah OPV akan diserahkan pada tahun ini namun pihaknya dimaklumkan akan menerima OPV 1 pada Mac manakala tarikh penyerahan OPV 2 masih belum diketahui.
Perkembangan itu jelas mengecewakan Mohd. Zubil yang akan bersara pada 19 Mac ini selepas 42 tahun berkhidmat menjaga keselamatan perairan negara.
“Sehingga tempoh persaraan, sebiji kapal pun tidak diterima, cuba bayangkan saya dah nak pencen pun saya masih berjuang untuk dapatkan satu kapal.
“Saya konsisten sejak dahulu bahawa kapal itu perlu diserahkan segera dan kalau boleh semalam saya nak ia diserahkan,” katanya selepas Perbarisan Paluan Berundur sempena persaraannya di Dataran Pahlawan, di Putrajaya hari ini.
Mohd. Zubil yang merupakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia ke 5 telah menerajui Maritim Malaysia selama tiga tahun 7 bulan.
Jawatan itu akan digantikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia iaiti Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh warga agensi berkenaan supaya mengekalkan tanggungjawab dan integriti dalam melaksanakan tugas.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, OPV 1 dan 2 disiapkan dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada tahun ini mengikut tempoh ditetapkan masing-masing pada Mac dan Oktober.
Kerajaan turut menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV 1 milik Maritim Malaysia disiapkan tahun ini.