Jenayah & Mahkamah

Muhyiddin berdepan 7 pertuduhan salah guna kuasa, penggubahan wang haram

PUTRAJAYA – Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berhubung kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan rayuan pembatalan cukai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Menurut Muhyiddin, pertuduhan tersebut merupakan satu bentuk pendakwaan politik terpilih yang berniat jahat yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadapnya.

“Dari dua perkara yang saya sebut tadi, mereka telah mengembangkannya menjadi tujuh pertuduhan ke atas saya.

“Tujuannya adalah untuk memalukaan saya dengan mengheret saya ke mahkamah esok.

“Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semata- mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan Perikatan Nasional(PN),” jelasnya dalam satu sidang media sebentar tadi.

Tambah Muhyiddin, yang juga bekas Perdana Menteri, beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan kemudiannya akan didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Projek Jana Wibawa adalah projek yang diluluskan semasa Pandemik Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor bumiputera.

“Sedihnya, ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim utk mencuri wang negara.

“Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta.

“Menggunakan fitnah ini, SPRM telah membekukan akaun bank Bersatu untuk menghancurkan Bersatu. Inilah jahatnya fitnah,” katanya lagi.

Tegas Muhyiddin, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang dan bukannya pihak yang mempunyai kuasa dalam meluluskan sebarang projek kerajaan.

Katanya, kuasa dalam meluluskan projek berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Saya sekadar melaksanakan keputusan kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button