SPRM tahan Bendahari Bersatu bagi lengkapi siasatan – Azam Baki
PUTRAJAYA – Penahanan reman Bendahari Agung, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Salleh Bajuri pada 2 Mac lalu dibuat bagi melengkapkan siasatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia hanya dilaksanakan selepas peguam penyiasat agensi tersebut merasakan ada keperluan berbuat demikian.
“Kita sebagai agensi penguatkuasa ini, kami ikut peraturan dan undang-undang yang ada.
“Saya serahkan kepada peguam penyiasat saya, mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman, maka ada keperluan atau kehendak siasatan ketika itu.
“Ini adalah satu kuasa budi bicara yang akan digunakan oleh kita dari semasa ke semasa mengikut kepada kesesuaian berkenaan,” katanya.
Azam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SPRM dengan UiTM dan Institut Juruakaun Malaysia (MIA), di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyelar penahanan Salleh sambil berkata ia dibuat tanpa sebab yang munasabah.
Dalam kenyataan tersebut, Hamzah turut tidak menolak kemungkinan tindakan SPRM adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
Untuk rekod, Salleh ditahan reman selama dua hari oleh SPRM bermula 2 hingga 3 Mac selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 1 Mac lalu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.