Berita Semasa

Kerajaan diminta terus pertahankan institusi tahfiz di seluruh negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta meneruskan usaha pentadbiran terdahulu menjaga institusi tahfiz dan kebajikan pelajarnya di seluruh negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan terdahulu menubuhkan jawatankuasa Kabinet khas bagi melihat institusi pendidikan agama terbabit secara menyeluruh.

“Saya percaya sejak daripada dulu lagi dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri, kita mempunyai jawatankuasa Kabinet yang dibentuk khusus untuk melihat secara menyeluruh isu-isu berkaitan sekolah tahfiz dan juga melibatkan anak-anak yatim.

“Kita tak nak pelajar-pelajar tahfiz ini hanya terikat dengan pelajaran tahfiz semata-mata. Kita ada subjek dan mata pelajaran ilmiah yang lain untuk dikuasai mereka. Mereka belajar tahfiz dan dalam masa sama mereka belajar subjek lain untuk ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau mahukan pendidikan di pusat tahfiz tidak terikat dengan subjek agama semata-mata dan perlu dikembangkan kepada mata pelajaran ilmiah yang lain seperti ditekankan dalam SPM.

“Sebab itu kita menyediakan tahfiz Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk mewujudkan latihan kepada pelajar tahfiz,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button