Politik

KDN beri pengecualian lulus usul tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung usul tambahan tidak mempertandingkan dua jawatan parti itu pada pemilihan tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta 832.

“Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mei lalu.

“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, kementerian (KDN) berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seksyen 13 akta itu adalah berkaitan pembatalan dan penggantungan sesebuah pertubuhan.

Menurut Seksyen 70 akta itu pula, menteri boleh menggunakan budi bicara bagi mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada mana-mana peruntukan bawahnya.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah menerima surat daripada KDN mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button