KBS, MFL anjur tayangan skrin besar Liga M
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) akan mengadakan tayangan skrin besar aksi Liga Malaysia (Liga M) mulai bulan ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jalinan kerjasama ini dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai peminat bola sepak tempatan menyaksikan perlawanan secara langsung walaupun tidak dapat ke stadium.
“Tayangan ini diadakan bagi memupuk semangat kesukanan dan perpaduan antara penduduk setempat.
“Selain itu, ia juga dapat mempromosikan bola sepak kepada akar umbi dan minat anak muda, dan diharap dapat menambah mutu dan nilai dalam bola sepak negara,:” kata Hannah, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran program tayangan tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan; Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan Mohd Joehari Ayub; dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalinggam.
Hannah kemudiannya berkata, kerjasama di antara KBS dan MFL ini akan memberikan pendedahan meluas kepada masyarakat setempat mengenai Liga Malaysia yang sedang melalui era penswastaan serta menjadi industri sukan terbesar di negara ini.
Untuk rekod, inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada program tayangan skrin gergasi sewaktu Malaysia mengharungi kempen Piala AFF 2022 pada akhir tahun lalu serta Piala Dunia Hoki baru-baru ini.
Bagi bulan Mac, sebanyak empat perlawanan akan menjadi pilihan bagi tayangan skrin besar:
1 Mac – Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu (Kedah Darul Aman lwn Terengganu)
5 Mac – Kompleks Belia & Sukan, Batu Uban (Kelantan lwn Penang)
11 Mac – Kompleks Belia & Sukan, Paroi (Kuala Lumpur City lwn Negeri Sembilan)
13 Mac – Dataran Starwalk, Alor Setar (Kelantan United lawan Kedah Darul Aman)