4 daerah di Johor dilanda paling buruk, seramai 1,591 mangsa terlibat
JOHOR BAHRU – Sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah di negeri ini susulan banjir yang melanda setakat pukul 8 pagi tadi.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sehingga sekarang seramai 560 keluarga dengan jumlah 1,591 mangsa terjejas akibat banjir ini.
“Saya telah turun ke PPS SK Bukit Mutiara, Bandar Dato Onn awal pagi tadi, antara 21 PPS yang telah dibuka di 4 daerah yang paling teruk dilanda banjir setakat jam 8 pagi.
“Selain itu saya sempat melihat sendiri operasi menyelamat mangsa-mangsa yang masih berada di kediaman berhampiran.
Saya dimaklumkan sehingga sekarang seramai 560 keluarga dengan jumlah 1591 mangsa terjejas akibat banjir ini, serta dijangka berlaku pertambahan jumlah mangsa dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, semua agensi telah digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Saya berpesan kepada semua petugas agar sentiasa mengutamakan keselamatan dalam misi membantu mangsa banjir.
“Saya juga menyeru seluruh Bangsa Johor untuk terus peka dan mendengar arahan pihak keselamatan, juga sentiasa berhati-hati serta saling menjaga sesama kita,” katanya.