Berita SemasaSukan

Rafael Nadal umum persaraan, akhiri legasi luar biasa

LEGENDA tenis dunia, Rafael Nadal secara rasmi mengumumkan persaraannya pada usia 38 tahun, selepas aksi terakhirnya yang menyaksikan Sepanyol tewas kepada Belanda pada final Piala Davis baru-baru ini.

Nadal menamatkan kegemilangan kariernya dengan meraih 22 gelaran Grand Slam termasuk 14 kemenangan bersejarah di Roland Garros sekali gus menyebabkan beliau diiktiraf sebagai raja gelanggang tanah liat.

Kariernya juga meliputi pencapaian penuh fenomena seperti dua pingat emas Olimpik, lebih daripada 1,000 kemenangan perlawanan dan memegangi kedudukan 10 teratas dunia selama hampir 18 tahun.

Nadal mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya selepas 23 tahun beraksi di gelanggang.

“Saya bersara dengan hati yang tenang kerana saya tahu telah meninggalkan satu legasi, bukan hanya dalam bidang sukan tetapi juga dalam kehidupan peribadi,” ucap Nadal penuh emosi di hadapan lebih 10,000 penonton di Malaga, Sepanyol.

Dalam ucapannya juga, Nadal melahirkan rasa syukur kerana dapat menamatkan kariernya dengan mewakili Sepanyol di Piala Davis, sama seperti detik kegembiraan pertamanya dalam kejohanan itu pada tahun 2004.

Related Articles

Beliau juga berterima kasih kepada peminat, pasukan dan rakan seperjuangannya atas sokongan sepanjang perjalanan kariernya selama 23 tahun yang luar biasa.

Melalui satu video yang dimuat naik di media sosialnya, Nadal turut memberitahu keputusan itu dibuat selepas berdepan situasi mencabar sejak beberapa tahun lalu.

Ia berikutan kecederaan yang dialami secara berterusan terutama di pinggul yang telah membatasi prestasinya di gelanggang.

Pemain tenis berusia 38 tahun ini dikenali sebagai seorang atlet yang penuh semangat dan tidak pernah mematahkan raket di dalam gelanggang.

Sepanjang lebih dua dekad dalam dunia tenis, Nadal mencipta rekod yang sukar ditandingi.

Beliau adalah sebahagian daripada Big Three bagi pemain tenis lelaki bersama Roger Federer dan Novak Djokovic.

Persaingan antara mereka ini juga bukan sahaja melahirkan perlawanan ikonik seperti final Wimbledon 2008 tetapi juga membawa sukan tenis ke tahap populariti global yang baru.

Federer dan Djokovic turut memberikan penghormatan kepada Nadal, dengan menyifatkan beliau sebagai inspirasi kepada generasi atlet akan datang.

Nadal turut memiliki akademi sukan dalam melatih anak-anak muda dalam sukan tenis sebagai sumbangannya kepada masyarakat.

“Saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang baik, seorang budak dari kampung kecil di Mallorca yang mengejar impian dan mencapai kejayaan lebih daripada apa yang saya impikan,” ungkap Nadal lagi.

Untuk rekod, sepanjang kariernya beraksi di gelanggang, Nadal tidak pernah sekali pun mematahkan raketnya apabila tewas.

Ia menjadikan beliau akan dikenang bukan hanya kehebatan aksinya, bahkan juga sikap positif yang ditunjukkan sebagai salah seorang atlet yang penuh semangat, keazaman, rendah hati dan paling dihormati di dunia.

Nadal akan terus dikenang sebagai legenda sukan tenis yang terhebat.

Dunia tenis pasti akan merindui kehadirannya, namun saya percaya semangat dan keazaman Nadal akan terus memberi inspirasi buat peminat serta pemain untuk bertahun-tahun yang mendatang.

Selamat bersara Rafael Nadal – seorang legenda yang telah membawa sukan tenis ke puncak keunggulan.

Show More

Related Articles

Back to top button