Radzi tepis dakwaan pemimpin utama PN tidak hadir Parlimen
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menempelak dakwaan yang mengatakan pemimpin-pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) tidak menghadiri sesi Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau dalam satu kenyataan di Facebook miliknya berkata, dakwaan tersebut tidak benar, malah kesemua pemimpin PN yang disebut itu bersama sebaris dengannya.
“Hari ini ada yang kongsi gambar dalam Dewan Rakyat cuba buat cerita kononnya pemimpin PN, Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak hadir sesi Parlimen pagi tadi.
“Saya berada sebaris dengan mereka di dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri bahawa mereka hadir pagi tadi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan, turut berkongsi sekeping gambar pada sesi petang sidang Parlimen ketika Hamzah sedang membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Gambar berkenaan menunjukkan kerusi di blok kerajaan kosong tanpa kehadiran menteri dan timbalan menteri semasa perbahasan itu.
“Mudah sebenarnya nak buat cerita daripada sekeping gambar dalam Dewan Rakyat ni. Contohnya, gambar ini. Saya ambil gambar blok Menteri dan Timbalan Menteri pada jam 4.16 petang ketika Ketua Pembangkang sedang berbahas,” katanya lagi.