Berita SemasaPM X

ATM siapsiaga gerakkan hospital medan ke Turkiye

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan sedang mempersiapkan pasukan doktor dan paramedik dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk digerakkan ke Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerajaan sedang menunggu pengesahan daripada kerajaan Turkiye.

“Pasukan dari ATM ini bersedia untuk menggerakkan hospital medan ke Turkiye namun sedang menunggu pengesahan mengenai keperluannya oleh negara itu,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.

Beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju menyediakan USD$1 juta manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang USD$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.

Dalam pada itu, katanya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menyumbang RM1 juta yang sebahagian bantuan itu akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.

Mengenai proses membantu mangsa di Syria, Anwar berkata sebarang proses sumbangan ke negara itu akan dilaksanakan melalui International Committee of The Red Cross (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah).

“Ini kerana ada masalah sekatan… konsul kita di Syria akan memastikan penyaluran dana dan pembelian perubatan disalur melalui Palang Merah,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button