Berita Semasa

Fahmi galas tugas jurucakap kerajaan

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilantik sebagai jurucakap kerajaan dengan pihak media.

Perkara itu disahkan oleh Fahmi selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), hari ini.

Jelas Fahmi, beliau diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu lepas, supaya beliau dan KKD bertindak sebagai wakil atau jurucakap bagi kerajaan terutama ketika berdepan dengan pihak media.

Berikutan itu, katanya, sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri setiap Rabu akan dikendalikan beliau sekiranya perdana menteri tidak dapat hadir.

“Mana-mana minggu, sebagai contohnya perdana menteri tidak dapat anjurkan sidang akhbar mingguan, maka saya dan KKD akan usahakan,” katanya.

Fahmi kemudiannya menambah, antara peranan sebagai jurucakap kerajaan adalah, pihak media boleh merujuk kepadanya untuk mendapatkan kepastian terhadap isu-isu yang perlu mendapatkan pengesahan.

“Ini bagi memastikan kementerian atau menteri yang tepat untuk dirujuk bagi mendapatkan maklum balas,” katanya.

Fahmi berkata, KKD juga akan berbincang dengan badan penyiaran bagi menyediakan maklumat terperinci dan menyeluruh tentang aktiviti kerajaan yang dijangka disiarkan minggu depan dalam slot berita.

“Pelbagai maklumat yang disampaikan oleh kementerian dan agensi namun tiada penegasan kepada kepada pencapaian dan kejayaan yang dilakukan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button