Berita Semasa

Hampir 10 peratus syarikat tidak bayar SST

PUTRAJAYA – Hampir 10 peratus syarikat tidak membayar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) menyebabkan negara terpaksa menanggung kerugian hampir RM150 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi bahagian pematuhan dan audit yang dilakukan secara berkala mendapati ada syarikat yang tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan.

Kata Sazali, antara tindakan yang boleh dikenakan kepada pihak yang culas membayar cukai termasuklah sekatan ke luar negara bagi ahli lembaga pengarah syarikat yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

“Jika ada cukai tertunggak, mereka akan dikenakan penalti yang lebih tinggi daripada amaun cukai yang perlu dibayar atau tindakan mahkamah, jika perlu,” kata Sazali.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hadir pada Program ‘Handholding SST Ikrar Betul Bayar Betul’, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, meskipun hanya kurang 10 peratus syarikat yang tidak membayar cukai, ia tetap memberi implikasi kewangan kepada negara.

Berkenaan prestasi kutipan cukai, Sazali berkata, kutipan bagi 2022 adalah sebanyak RM53.54 bilion, meningkat 25.97 peratus atau RM11.03 bilion berbanding kutipan pada 2021.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen cukai seperti cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, duti import dan levi. Peningkatan hasil ini juga mencerminkan keupayaan dan kepimpinan JKDM dalam mengurus dan mentadbir jabatan pada tahap cemerlang,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button