Berita SemasaPM X

PM akui GST sebagai sistem cukai terbaik, perlu beberapa tahun lagi untuk dilaksanakan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui keberkesanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sistem cukai terbaik dan paling efisien untuk pembangunan negara.

Namun beliau berkata, pelaksanaan semula cukai itu hanya dapat dilakukan sekiranya ambang gaji minimum dapat ditingkatkan kepada RM3,000 hingga RM4,000.

Perkara itu katanya adalah untuk memastikan golongan miskin di negara ini tidak terbeban.

“Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap. Tapi pandangan saya adalah, beri sedikit masa, beberapa tahun, pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000 dahulu, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar.

“Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar termasuk orang kaya dan yang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem cukai GST yang cekap dan telus akan dapat membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Tambahnya, pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad sejak beliau menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1990-an.

Katanya, sistem cukai itu ditolak pada ketika itu kerana merasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgi perlu ditangani terlebih dahulu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button