
Kerajaan jamin rawatan kepada penerima terkesan vaksin
BALING – Penerima vaksin Covid-19 khususnya vaksin jenis AstraZeneca yang mengalami kesan sampingan diberi jaminan akan menerima rawatan susulan yang sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, rawatan susulan akan diberikan kepada penerima vaksin jenis itu kerana kerajaan mempunyai data lengkap mengenai penerima dan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI).
“Kita akan pastikan kalau ada sesiapa terbukti ‘evidence base’ terkait dengan vaksin AstraZeneca, kita memang ada cara untuk pastikan mereka diberi bantuan.
“Kerajaan akan bertanggungjawab merawat mereka… itu jaminan yang diberikan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas, Jitra di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan kerajaan memberi jaminan bahawa isu kesan sampingan vaksin Covid-19 tidak akan memberi kesan terhadap program vaksinasi lain di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).
Pada 7 Mei lalu, syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden, iaitu AstraZeneca menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia selepas pengakuan di mahkamah bahawa vaksin itu menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.
Telegraph melaporkan bahawa vaksin itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik kebenaran pemasaran.
Pengakuan itu membuka jalan tuntutan pampasan sebanyak 51 kes yang dikemukakan di mahkamah setakat ini dengan ganti rugi yang dituntut dianggarkan bernilai RM512 juta.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |