Politik

Tindakan gantung dan pecat berdasarkan penelitian jawatankuasa disiplin – Tengku Razaleigh

GUA MUSANG – Tindakan UMNO terhadap beberapa ahli yang dipecat dan digantung keahlian mereka adalah berdasarkan kepada penelitian yang dibuat oleh pihak bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, setiap parti mempunyai disiplin tersendiri bagi menjaga perjalanan parti.

“Saya percaya benda ni sudah pun diteliti dengan cermat oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

“Setiap parti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara dan cara kerja serta susunan organisasi akan dikenakan disiplin bagi memastikan parti berjalan dengan baik.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang usaha dijalankan untuk menstabilkan keadaan politik,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambah Tengku Razaleigh, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga wajar kerana sudah menjadi tanggungjawab seorang ketua untuk memantau perjalanan parti dan pemimpin daripada parti itu.

“Ketua parti akan mengawasi perjalanan parti dan tingkah laku pemimpin sama ada yang menjalankan tugas biasa dan ada yang mempunyai minat untuk mencabar jawatan tertentu, sampai ke peringkat tinggi pun.

“Jadi kalau berlaku tindakan seperti yang diumum semalam (kelmarin) tak hairanlah kita. Jika tidak berpuas hati bolehlah buat rayuan. Ini perkara biasa dalam parti politik,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam kelmarin membuat keputusan menggantung elama enam tahun empat pemimpin parti itu.

Mereka terdiri Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin Hussien; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.

Show More

Related Articles

Back to top button