Berita Semasa

Jambatan Bagan Datuk-Sejagop dijangka siap sebelum Aidilfitri – TPM

BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang menghubungkan pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang tertangguh kira-kira dua tahun, dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, projek itu akan memendekkan perjalanan penduduk sekitar Bagan Datuk, Pasir Salak dan Manjung untuk ke Kuala Lumpur kepada sejam setengah sahaja.

Katanya, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan sepanjang 10.5 kilometer dan jambatan 1.5 kilometer itu, yang merupakan projek ikonik di Perak, pada 20 April.

“Ini tentu memberikan kesan jangka masa panjang untuk Parlimen Bagan Datuk dan Pasir Salak. Saya yakin pelabur di luar negara akan datang.

“Saya sudah berbincang dengan mereka untuk beberapa kilang dibina di seberang kedua-dua jambatan ini.

“Yang penting, peluang pekerjaan yang akan diperolehi pada peringkat pertama, iaitu lebih kurang 4,000.

“Dalam jangka masa panjang, (menjelang) 2030, akan dapat lebih banyak pelaburan yang akan menjana pekerjaan untuk lebih 10,000 orang,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, dengan adanya jambatan bernilai RM406 juta itu akan menggamit pembangunan lain seperti bangunan komersial dan kawasan perumahan.

Pada masa sama, secara tidak langsung ekonomi daerah Hilir Perak yang merupakan kawasan ke-12 dan mukim termiskin di Perak dapat dipertingkatkan.

Projek itu yang mula dibina pada akhir 2016 sepatutnya siap pada Oktober 2020 tetapi berlaku kelewatan atas beberapa faktor terutamanya pandemik Covid-19.

Ketika ini, projek berkenaan siap 97 peratus dan tidak ada kenaikan kos kerana ia dilaksanakan secara reka dan bina.

Ia bermakna, sekiranya berlaku sebarang kenaikan kos, ia akan ditanggung oleh kontraktor utama.

Show More

Related Articles

Back to top button